Tiong: GPS harus amal prinsip konsensus, perkongsian kuasa dan saling menghormati

Tiong kelihatan memberi ucapan (di sebelah kiri skrin) di Konvensyen GPS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Nov: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyeru Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengamalkan prinsip konsensus, perkongsian kuasa dan saling menghormati di dalam pentadbiran Sarawak.

Katanya, gabungan baharu itu harus mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa perpecahan hanya disebabkan keinginan untuk berkuasa.


“Kita harus ingat Sarawak adalah sebuah negeri yang didiami penduduk dari pelbagai agama dan etnik. Kita tidak akan bertahan lama jika kita menguruskan pentadbiran negeri secara bersendirian.

“Marilah kita saling berkerjasama demi mewujudkan Sarawak yang lebih baik pada masa depan,” katanya pada ucapan di Konvensyen GPS yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Beliau yang juga MP Bintulu menambah, lanskap politik pada masa kini telah berubah dan menuntut para pemimpin untuk turut mengubah pemikiran demi mencapai kecemerlangan tanpa mengira kecil besar sesebuah parti.

Tegas Tiong, sebuah parti yang besar tak boleh anggap mereka akan kuat selamanya, seolah-olah mendominasi segalanya.

“Pandangan ikhlas dari parti kecil tak mahu didengar. Akibatnya, bila kalah terus menjadi lemah dan ramai ahli meninggalkan parti kerana tidak yakin dengan pemimpin.

“PRU14 yang lepas adalah contoh yang jelas bagaimana sebuah parti yang dominan telah hilang kuasa dan diambil alih oleh sebuah parti baharu dalam sekelip mata. Adakah sejarah tersebut harus berulang di negeri Sarawak yang dicintai ini?” tanya beliau.

Justeru Tiong menegaskan yang GPS, sebagai sebuah gabungan baharu, perlulah membuktikan kepada rakyat bahawa kitalah “The Shield of Sarawakians”.

Katanya, pilihan ada pada semua, dimana rakyat akan sekali lagi memberi kepercayaan dan mengundi pada pilihanraya negeri akan datang.

“Paling penting, rakyat mahu melihat bagaimana kita menyempurnakan amanah kita kepada pengundi dan rakyat kita.

“Kita mesti bersikap proaktif dan tidak terlalu defensif di dalam pentadbiran negeri dan menguruskan isu yang berkait dengan politik,” ujar Tiong.

Konvensyen GPS hari ini dirasmikan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang juga pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. — DayakDaily