KUCHING, Ogos 11: Pergerakan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang semakin ligat memfitnah GPS sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pemuda GPS, Fazzrudin Abdul Rahman, berkata tindakan itu dilihat sebagai perbuatan terdesak pihak tertentu dalam usaha memburuk-burukkan GPS dan mengelirukan rakyat.
Tegas beliau, penyokong kuat parti-parti komponen dalam GPS tetap setia bersama parti dan memberi sokongan padu kepada pucuk kepimpinan Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Tun Openg.
“Pemuda GPS melihat ada cubaan terdesak pihak tertentu untuk meraih sokongan rakyat Sarawak dengan usaha menubuhkan parti baharu dan membuka cawangan parti berpangkalan di Semenanjung, di Sarawak, dengan ‘mengapi-apikan’ kononnya beberapa wakil rakyat GPS akan keluar parti dan menyertai mereka.
“Terkini berlaku semalam, apabila kecoh dakwaan kononnya ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin, sudah diterima menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penyebaran fitnah dimedia sosial itu disertakan gambar borang palsu mengenai penerimaan keahlian.
“Namun perkara itu sudah dinafikan sendiri oleh ADUN Meluan dan disiarkan media tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fazzrudin yang juga ADUN Tupong memberitahu, Pemuda GPS mendapati tindakan memfitnah dan terdesak itu bukan sahaja dilakukan di media sosial malah ada yang secara terbuka kononnya atas nama “jurucakap” sebuah parti yang baru membuka cawangan di Sarawak mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, dengan memfitnah kononnya beberapa ahli GPS akan keluar parti.
Katanya, sebelum ini terdapat laman online melaporkan enam Ahli Parlimen GPS didakwa mahu meninggalkan pakatan itu, tiga lagi ADUN GPS dikhabarkan sudah bersedia untuk ‘angkat kaki’.
Laman online itu memetik jurucakap Parti Pribumi Sarawak (Pribumi) sebagai mengeluarkan kenyataan, bahawa tindakan sembilan wakil rakyat terbabit disebabkan hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi GPS, khususnya PBB yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.
“Baru-baru ini juga tersebar di media sosial poster Kabinet bayangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mengaitkan nama dua pemimpin kanan dalam GPS, iaitu Ketua Whip GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Kedua-dua pemimpin itu sudah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu.
“Pemuda GPS juga meminta rakyat Sarawak terutama ahli-ahli parti supaya tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan fitnah demi fitnah yang cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab ini dan menjangkakan lebih banyak fitnah yang bakal mereka keluarkan,” katanya.
Sambil menambah, semua wakil rakyat dari empat parti komponen iaitu PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) masih utuh bersatu di bawah GPS dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Abang Johari sebagai pemimpin tertinggi GPS dan Ketua Menteri Sarawak. — DayakDaily