Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah mereka musnah terbakar

Sebuah rumah yang didiami tiga sekeluarga ranap akibat kebakaran.
Advertisement

KUCHING, Ogos 1: Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Tabuan Lot No 3 Dani musnah terbakar, petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu mengakibatkan sebuah rumah setingkat jenis berstruktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 6.43 petang.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Padungan juga diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu pasukan BBP Tabuan Jaya.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan, sebuah kereta Perodua Myvi turut terbakar kira-kira 20 peratus akibat kebakaran itu,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, turut berada di lokasi kejadian ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu terkawal sepenuhnya pada pukul 7.23 malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement