Tiga rumah terjejas akibat kebakaran di Taman Tunku

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Okt 28: Tiga rumah teres di Lorong 2, Taman Tunku di sini terjejas akibat kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun, kesemua penghuni rumah teres setingkat tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua mereka dapat keluar menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira pukul 11.26 pagi itu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.28 pagi.


Jelasnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan tiga buah rumah teres setingkat jenis kekal.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tujuh buah rumah yang sederet dengan rumah yang terbakar.

“Siasatan awal mendapati api bermula dari rumah yang keenam dan merebak ke rumah kelima dan ketujuh.

“Operasi pemadaman terus dijalankan dan pasukan bomba berjaya mengawal api dari merebak ke rumah seterusnya,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.48 petang.

Katanya, kebakaran itu telah mengakibatkan rumah kelima musnah terbakar kira-kira 80 peratus, rumah keenam (90 peratus) dan rumah ketujuh (70 peratus).

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily