Tiga rumah hangus di Salim, 29 orang hilang tempat berteduh

Keadaan api marak memusnahkan tiga buah rumah di Jalan Sentosa, Sibu.

SIBU, 4 Okt: Seramai 29 orang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka di Jalan Sentosa, Salim di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 8.45 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Sibu dan Sungai Merah hadir di lokasi kejadian pada jam 8.56 malam dan terus memadam kebakaran.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah dan api berjaya dikawal pada jam 9.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rumah pertama didiami lapan orang, rumah kedua 15 orang dan rumah ketiga seramai enam orang.

“Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada jam 10.50 malam.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Energy Berhad.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily