Tiga maut dalam nahas bas sekolah langgar lori

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang selamat.
Advertisement

BINTULU, Jan 30: Tiga maut termasuk dua murid sekolah selepas bas yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori di KM 12, Jalan Pesisir Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu bas, Ramnelan Samar, 50, dan dua murid iaitu, Nur Nabila Syakila, 9, dan Aien Laila Aliesha, 11.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.12 pagi.

Advertisement
Bahagian depan bas sekolah yang musnah.
Keadaan kemalangan yang melibatkan bas sekolah dan lori.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas sekolah dan lori membawa muatan besi.

“Keadaan cermin depan bas sekolah tersebut juga didapati pecah akibat rempuhan kuat itu. Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu bas itu sudah meninggal dunia dalam keadaan tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, kejadian itu juga mengakibatkan enam murid cedera, manakala 14 lagi selamat.

Katanya, pemandu lori dan kelindan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat semua mangsa kini ditempatkan di Hospital Bintulu,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement