MIRI, Julai 18: Tindakan mencurigakan tiga lelaki yang sedang keluar dari sebuah rumah di Tudan di sini menggunakan sebuah tangga aluminium dipercayai dicuri mengundang padah apabila mereka ditahan anggota Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut sumber JKP Miri, sebelum berjaya menahan suspek, anggota JKP telah bertindak terpaksa mengejar dua suspek yang melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal sejauh kira-kira 2 kilometer (km).
“Usaha mengejar suspek itu berhasil apabila berjaya menahan seorang suspek, namun seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri.
“Manakala, seorang lain suspek telah dicekup semasa berada di kawasan tepi pagar rumah berkenaan,” katanya hari ini.
Sumber menambah, dua suspek yang diberkas itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman di Balai Polis Pusat Miri.
“Buat masa ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan sebelum pendakwaan dilakukan,” ujarnya. — DayakDaily