Tiga lelaki dicekup disyaki miliki dadah dan senapang patah

Dadah yang dirampas oleh polis.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Mei 14: Tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga emas dicekup selepas disyaki telibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri dalam satu serbuan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 34 hingga 67 tahun termasuk seorang lelaki warga Indonesia itu dicekup menerusi serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Punang Berayong, Long Sukang pada pukul 2 pagi.


Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui di rumah berkenaan menemui satu keratan tiub straw warna hijau berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.10gram.

“Pemeriksaan lanjut di ruang dapur telah menjumpai di atas lantai bawah meja satu bekas plastik bertulis Watsons Dental Floss Picks dan apabila diperiksa kandungannya mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kasar 37.50 gram.

“Polis turut menemui dua laras senapang patah buatan sendiri, sepucuk pistol buatan sendiri berserta sarung pistol dan satu plastik hitam mengandungi 25 butir peluru hidup senapang patah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, hasil ujian air mendapati seorang daripada mereka positif dadah, manakala dua lagi negatif dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya. ā€” DayakDaily