Tiga lagi warga China disahkan positif koronavirus — Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Jan 29: Tiga lagi kes positif koronavirus yang melibatkan warganegara China dilaporkan semalam.

Dengan kes terbaharu itu, ketua pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media awal pagi ini berkata jumlah kes disahkan positif di seluruh negara meningkat kepada tujuh setakat ini.

Tiga kes terbaharu itu membabitkan seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, seorang lelaki berusia 52 tahun yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan seorang wanita.


“Wanita itu terdahulunya berstatus negatif tetapi telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka (kedua-dua anaknya) dikesan positif,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebelum ini terdapat empat kes positif koronavirus dilaporkan di negara ini dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respons terhadap wabak penyakit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik.

Katanya, kapasiti dan keupayaan sedia ada ditingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan koronavirus.

Kesemua tujuh kes positif koronavirus setakat ini membabitkan warga China. — DayakDaily