Tiga kotak vaksin Covid-9 tiba di Miri secara jalan darat malam Khamis

Lee (tiga dari kanan) bersama Yii (dua dari kanan), Dr Wong (kanan) selepas menyaksikan ketibaan dan penyerahan tiga kotak vaksin Covid-19 pada malam Khamis (4 Mac, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 5 Mac: Kenderaan yang membawa tiga kotak vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dengan berat 20 kilogram tiba di Pejabat Farmasi Bahagian Miri jam 9.26 malam Khamis tadi untuk disimpan.

Ketibaan kenderaan yang diringi beberapa kereta pengiring Polis Daerah Miri (IPD Miri) itu disambut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri bertangunjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.


Menurut Lee, penghantaran vaksin Covid -19 itu dilakukan secara jalan darat dari Kuching ke Miri oleh sebuah syarikat penghantaran dan diiringi oleh seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Setibanya di Pejabat Farmasi Bahagian Miri, vaksin tersebut telah diterima oleh Eileen Yii Sze Shin (pegawai farmasi Bahagian Miri) dan disaksikan oleh Lee dan pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, yang juga merangkap pemangku Residen Bahagian Miri; pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu; pegawai Kesihatan Bahagian Dr P. Raviwharmman dan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

“Penghantaran ini telah dilakukan oleh syarikat penghantaran yang diiringi oleh seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta sepasukan polis dari PDRM yang mengiringi kenderaan penghantar secara bergilir apabila kenderaan penghantar ini melalui setiap bahagian-bahagian dari Kuching sebelum tiba di bahagian Miri”, jelas Lee.

Lee melihat keadaan vaksin yang tiba dalam kenderaan penghantar.

Mengulas mengenai aktiviti pemberian vaksin Covid-19 untuk Bahagian Miri khususkan kepada barisan hadapan bermula pada esok (6 Mac) dan dijangka akan tamat pada penghujung April, Lee, menggesa orang ramai yang berada di bandar dan yang mempunyai telefon pintar serta capaian internet untuk membuat pendaftaran vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, beliau turut mengalakkan orang ramai supaya bersedia awal dengan mendaftar sekarang untuk pemberian vaksin Covid-19 Fasa 2 dan 3 yang akan datang bagi mengelakkan mereka daripada keciciran.

Tarikh tentatif aktiviti pemberian vaksinasi Covid-19 Fasa 2 kepada masyarakat umum berisiko tinggi (warga emas, penyakit kronik) adalah tentatif pada April 2021.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPBN Sarawak akan memaklumkan secara rasmi pada waktu yang terdekat kemudian.

Bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi Covid-19 melalui empat saluran berikut iaitu: Pejabat-pejabat Daerah; ketua kaum iaitu ketua kampung, kapitan dan tuai rumah yang akan dibantu oleh JKKK masing-masing; melalui Jawatankuasa Penduduk (RC) (Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi); atau mendaftar di klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja) pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat.

Orang ramai diingatkan untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat. — DayakDaily