Oleh Dean Adam
KAPIT, Jan 17: Tiga individu nyaris maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Beleteh di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, dua individu cedera, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.22 tengah malam.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan masing-masing sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua Viva.
“Pemeriksaan mendapati, pemandu Perodua Kancil itu masih dalam keadaan tersepit, manakala pemandu Perodua Viva pula terbaring di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke Hospital Kapit.
“Operasi tamat sepenuhnya apabila mangsa yang cedera selamat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily