Tiga bot ‘interceptor’ ditempatkan di tiga markas UKPS

Pegawai-pegawai UKPS merakamkan kenangan di Majlis Penempatan Interceptor Sarawak Coastguard di Terminal Bot Ekpres Kuching. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 11 April: Tiga bot ‘interceptor’ akan ditempatkan di tiga Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Sarawak.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia untuk menguatkuasakan undang-undang negeri di kawasan pesisiran pantai dan Sungai-Sungai.

Bot tersebut akan ditempatkan di Markas UKPS Tanjung Manis, Miri dan Lawas bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat, dan kawalan keselamatan dalam acara-acara air rasmi.

Advertisement

Ia juga berperanan untuk membantu penugasan agensi-agensi keselamatan yang lain.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, penempatan bot-bot ‘interceptor’ Sarawak Coastguard dapat menjadi pelengkap kepada agensi-agensi sedia ada.

“Ini sekaligus mewujudkan suasana aman, kondusif dan pengwujudan persekitaran yang selamat bagi nelayan serta penduduk-penduduk di kawasan perairan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Doa Selamat Bersempena Penempatan ‘Interceptor Sarawak Coastguard’ di Terminal Bot Ekpres Kuching di sini hari ini. — DayakDaily

Advertisement