Tiga beranak termasuk warga emas hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

MIRI, Okt 9: Tiga beranak termasuk seorang warga emas kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Kepayang Tiris, Bekenu terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.


Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah jenis tidak kekal.

“Pemeriksaan mendapati tiga penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, ketiga-tiga penghuni yang terjejas berusia antara 27 hingga 80 tahun.

Jelasnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 9.28 malam.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily