KUCHING, 16 April: Tidak semua harga barangan yang dijual di Sabah dan Sarawak menunjukkan kadar harga yang lebih mahal daripada yang di jual di Semenanjung.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, analisa lanjut yang dilakukan tehadad semua barangan di dua wilayah itu menunjukkan nilai bakul di Sabah dan Sarawak adalah lebih murah bagi ikan segar, makanan laut segar dan susu cair atau pekat berbanding Semenanjung.
Katanya, Sabah turut mencatatkan nilai bakul lebih murah bagi keluaran lain yang dihasilkan daripada bijirin, daging segar, susu segar dan dibancuh semula, sayur-sayuran segar dan ubi kentang dan ubi.
Manakala, Sarawak pula menunjukkan nilai bakul lebih murah bagi kelapa, kacang dan sayur-sayuran yang dikering atau jeruk.
Berdasarkan analisa ini, Sarawak, Sabah dan Semenanjung tidak menunjukkan jurang perbezaan harga yang ketara memandangkan bakul di Sabah dan Sarawak diimbangi dengan barangan yang lebih murah berbanding Semenanjung.
“Oleh itu, semua pengguna seharusnya mengambil peluang ini untuk melaksanakan perbelanjaan yang lebih bijak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kos pengangkutan dikenalpasti sebagai faktor utama yang mempengaruhi perbezaan harga terutama bagi barang-barang keperluan yang tidak berasal atau diproses di Sabah dan Sarawak.
Justeru katanya pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi mengimbangi harga barangan di tiga wilayah berkenaan termasuk Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (Port to Port) dan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan ‘Community Drumming’ yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009
“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan dengan tujuan bagi menyeragamkan harga di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, kerajaan juga melaksanakan pengecualian Dasar Kabotaj di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kos perkapalan.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Maritim Malaysia (Mima) dan Bank Dunia mendapati bahawa tidak ada penurunan harga barang di Sabah sejak Malaysia meliberalisasikan dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa 1 Jun, 2017. Justeru, pengecualian ini amat dialu-alukan,” katanya.
Nanta berkata, mekanisme baharu seperti mewujudkan hab agro-makanan di Sabah dan Sarawak sebagai salah satu usaha untuk mengatasi masalah perbezaan harga di kedua wilayah itu harus diberi tumpuan mengambil kira kelebihan dua wilayah itu yang mempunyai kawasan luas bagi melaksanakan projek berkenaan.
Katanya, usaha untuk meningkatkan platform e-Dagang serta menambahbaik perhubungan peringkat akhir bagi perhubungan dan penggangkutan turut dapat mengurangkan jurang perbezaan harga barangan terbabit sekaligus mengurangkan kos sara hidup di ketiga-tiga wilayah ini.
Tambah Nanta, perbelanjaan utama isi rumah yang meliputi makanan dan minuman bukan alkohol mendominasi perbelanjaan sebanyak 29.5 peratus, diikuti perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti sebanyak 23.8 peratus manakala perbelanjaan pengangkutan 14.6 peratus.
Katanya, berdasarkan laporan IHP bulan Disember 2020, kajian menunjukkan Sabah dan Sarawak tidak mencatatkan jumlah harga purata tertinggi dengan Sarawak berada pada kedudukan keenama manakala Sabah di kedudukan ke-15 susunan kedudukan nilai harga bakul mengikut negeri atau wilayah. — DayakDaily