Tidak sempat sampai tempat kerja, remaja lelaki maut dalam kemalangan

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

KABONG, Ogos 13: Perjalanan seorang remaja lelaki menuju ke tempat kerjanya berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan di Jalan Kampung Baru di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Haziz Hasan, 18, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Sarikei.

Jurucakap polis memberitahu, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal dikatakan menuju ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di sini.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, apabila sampai di lokasi kemalangan, motosikal yang ditungangnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah van.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepalanya.

“Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kabong untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Sarikei,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap polis berkata, bagaimanapun, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik menghembuskan nafas terakhir semasa mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

Katanya, pemandu van itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu tersebut untuk membantu siasatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement