Tidak sempat sambut tahun baharu, tiga maut apabila Ford Ranger bertembung dengan Perodua Alza

Keadaan kenderaan selepas kemalangan.
Advertisement

MIRI, Dis 31: Hasrat tiga sekeluarga untuk meraikan sambutan tahun baharu malam ini bersama keluarga mereka tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kejadian kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Beluru-Lapok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Ai Shan, 28, Eyeo Chun Hua, 50, dan Tan Khieng Wei, 11.

Kejadian sama turut mengakibatkan seorang pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan.

Advertisement
Keadaan kenderaan selepas kemalangan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya mereka.

Menurutnya, sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger sedang dalam perjalanan dari arah Long Lama ke Miri.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, Ford Ranger yang dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.

“Kesan pelanggaran kuat itu mengakibatkan Ford Ranger tersebut berpusing beberapa kali dan terhumban ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bingkok menambah, mayat kesemua mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement