Tidak sempat rompak mesin ATM, polis cekup perompak ‘solo’

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jun 4: Cubaan seorang lelaki merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik Hong Leong Bank di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini mengundang padah apabila dia dicekup polis awal pagi tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kira-kira pukul 4.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, sebelum itu, pihak polis menerima isyarat kejadian tersebut daripada alat penggera keselamatan di bank berkenaan berbunyi pada pukul 4.35 pagi.


Jelasnya, tindakan pantas anggota polis MPV yang kebetulan meronda di kawasan berdekatan telah bertembung dengan suspek yang cuba melarikan diri keluar dari tempat mesin wang tersebut.

“Pasukan polis berjaya menangkap suspek selepas berlaku aksi kejar mengejar selepas suspek melarikan diri ke tingkat satu bangunan bersebelahan tidak jauh dari bank tersebut.

“Selepas menangkap suspek, pasukan polis juga berjaya merampas alat tukul besi dan topeng yang digunakan suspek yang dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu juga dipercayai bergerak secara bersendirian.

“Suspek telah ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. — DayakDaily