Tiba musim durian, cubalah Homestay di Bung Jagoi

Antara pokok durian yang berhampiran rumah di Bung Jagoi.

Oleh Chris Bishop

BAU, 24 Mei: Bung Jagoi di Bau menawarkan buah durian tempatan yang enak bagi penggemarnya bila tiba musim.

Terdapat sekitar 200 pokok durian yang ditanam oleh penduduk asal di awal kewujudan perkampungan tersebut.

Advertisement

Rata-rata pokok ini yang sebahagiannya berusia lebih 100 tahun menghasilkan durian yang lunak setiap tahun.

Namun kini majoriti penduduk di penempatan Bung Jagoi sudah berhijrah ke kawasan rendah, mewujudkan perkampungan baharu.

“Situasi ini sedikit sebanyak menyebabkan pokok durian ini tiada pemilik, tapi yang sebenar ia adalah milik semua penduduk asal Bung Jagoi.

“Justeru, bila tiba musim durian, mereka berhak mengutip buah durian yang jatuh masak daripada mana mana pokok.

“Konsepnya siapa cepat dia dapat,” kata Alex Jimat, pengusaha Dorod Jagoi Homestay ketika ditemui DayakDaily hari ini.

Malah tambah beliau, pelawat pun boleh mengambil durian ini jika kebetulan ia jatuh berhampiran.

Justeru Alex menggalakan orang ramai dari sekitar Bau dan Kuching untuk datang ke Bung Jagoi menikmati durian bila tiba musimnya.

Katanya, terdapat 3 premis homestay yang menyediakan kemudahan bermalam kepada yang berminat.

“Datanglah ke Bung Jagoi untuk menikmati durian kami yang lunak.

“Makan sebanyak yang boleh, anda juga boleh bermalam di sini dan sama-sama berebut menikmati durian,” kata Alex.

Bagi yang berminat bermalam di Dorod Jagoi Homestay boleh menghubungi Alex di nombor 016-8553117.

Dua lagi homestay ialah Jiming Homestay (014-9129096) dan Opap Homestay (012-8556817). — DayakDaily

Dorod Jagoi Homestay.
Alex (kanan) memasak nasi menggunakan kayu api di homestay milik beliau. Turut kelihatan bapanya Jimat (kiri).

 

Advertisement