Tiada ruang Bersatu bertanding pada PRN Sarawak, kata Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 April: Tiada ruang bagi calon dari Bersatu bertanding di dalam PRN, tegas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mengenalpasti kesemua calon bagi semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi menghadapi PRN kelak.


“Jadi, apabila kita sudah mengenal pasti kesemua calon ini, bererti calon-calon bagi semua 82 kerusi itu adalah daripada GPS,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa jika Bersatu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, calonnya akan membawa tiket GPS.

Terdahulu Abdul Karim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Bangunan Baitulmakmur di sini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian menyatakan adalah sukar untuk menentukan kedudukan Bersatu.

Namun katanya, untuk menjadi calon mewakili GPS, individu tersebut hendaklah ahli daripada empat komponen parti yang membentuk GPS.

“Walau bagaimanapun kita akan menangani masalah ini dengan baik, kerana di peringkat pusat kita menyokong Perikatan Nasional (PN).

“PN tertubuh demi kestabilan atas sokongan daripada GPS dan kita juga mengharapkan PN bertindak sebaiknya apabila kita menghadapi pilihanraya negeri nanti,” ujar beliau.

Tambah Abdul Karim lagi, sudah diketahui umum melalui kenyataan oleh PN dan Bersatu bahawa mereka menyokong GPS sebagai kerajaan Sarawak.

“Kalau menyokong, biarlah menyokong dari segi jiwa dan bahasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zuraida semasa merasmikan pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Sarawak semalam berkata, langkah menggunakan tiket GPS adalah supaya pengundi di Sarawak tidak keliru sama ada memilih Bersatu atau GPS.

Jelas beliau yang dipetik dari akhbar tempatan hari ini, Bersatu akan menjadi satu parti yang akan membantu kerajaan pusat untuk terus dikekalkan dan mengekalkan Wilayah Sarawak. — DayakDaily