Tiada petunjuk baharu ditemui dalam SAR Santubong dan Kuala Serupai

Ops Carilamat di Kuala Serupai Bintulu.

KUCHING, 6 Jan: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua nelayan yang masing-masing hilang di Kuala Serupai, Bintulu dan Satubong pada hari ini masih belum menemui sebarang petunjuk baharu keberadaan kedua-dua mangsa terbabit.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritin Zin Azman Md Yunus berkata, SAR di Santubong yang masuk hari ketiga pada hari ini melibatkan sektor pencarian dengan keluasan 50 batu nautika persegi bermula dari Muara Tebas hingga ke Tanjung Sipang dan Pulau Satang dengan 137 orang pegawai dan anggota termasuk penduduk kampung.

“Bagi pencarian di pesisir paya bakau, PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah menggunakan satu seksyen dari PGA dan kita turut melakukan pencarian dengan melakukan pemantauan dari udara dengan bantuan aset pesawat Cessna Caravan daripada Pasukan Gerakan Udara PDRM hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Dalam perkembangan lain, Zin Azman berkata, Ops Carilamat di Kuala Serupai, Bintulu yang memasuki hari keenam hari ini, setakat jam 12.00 tengah hari tadi juga masih belum menemui sebarang petunjuk baharu keberadaan mangsa.

Katanya, sektor pencarian di kawasan terbabit turut di perluaskan kepada 280 batu nautika persegi di laut termasuk pencarian di kawasan pantai antara muara Sungai Batang Balingian sehingga Kuala Tatau dengan 85 pegawai dan anggota termasuk penduduk kampung terlibat dalam pencarian terbabit.

Ops Carilamat di Santubong.

“Kedua-dua Op Carilamat telah telah dimulakan seawal jam 7.00 pagi dan telah dikoordinasikan oleh MRSC Kuching (Maritim Malaysia) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara PDRM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Zin Azman dalam pada itu turut menggesa komuniti maritim agar membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk selain sentiasa mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan sekiranya keadaan mendesak untuk merek turun ke laut.

“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544,” tambah beliau. — DayakDaily