Tiada perbincangan, tiada cadangan peruntukan bagi MP pembangkang setakat ini — TPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Nov: Tiada cadangan peruntukan kawasan daripada Kerajaan Perpaduan bagi Ahli Parlimen (MP) Pembangkang setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, belum ada mana-mana MP datang berjumpa dan berbincang dengan beliau berhubung perkara tersebut.


“Tidak ada perjumpaan setakat ini, yang penting sekarang ialah untuk kita berjumpa.

“Bila berjumpa sudah pasti ada rangka kerja ataupun persetujuan, dari segi peruntukan, bagaimana kita hendak menguruskan kawasan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Terdahulu Fadillah telah hadir ke Majlis Anugerah Sempena Forum Perdagangan Global Muslim 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Tambah beliau yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi, apa yang diharapkan ialah untuk wakil daripada pembangkang khususnya Ketua Whip pembangkang untuk berjumpa dan berbincang.

Perbincangan itu katanya bukan untuk menyokong Perdana Menteri tetapi lebih kepada bagaimana hendak menjalinkan kerjasama dalam mentadbir negara.

“Maknanya kita memerlukan pembangkang yang konstruktif, bagaimana kita boleh bekerjasama termasuklah perkara-perkara yang tidak boleh kita lakukan.

“Ini perkara yang kita hendak bincang, tetapi masa ini belum ada yang berjumpa dengan saya kecuali MP Muar Syed Saddiq (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” ujar Fadillah.

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim meminta Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk terus berbincang dengan Fadillah berhubung permohonan peruntukan untuk kawasan mereka. — DayakDaily