Oleh Chris Bishop
BAU, 5 April: Kadar kutipan cukai yang dikenakan oleh pejabat kerajaan tempatan kekal mengikut kadar tahun 1960.
Menurut Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian, ia tidak diubah sehingga sekarang walaupun kos untuk menyediakan kemudahan awam meningkat.
Namun katanya, kerajaan telah mencari kaedah lain untuk menambah pendapatan bagi menampung kos tersebut.
“Kalau mengikut kadar kutipan cukai tahun 1960, adalah sukar bagi pejabat kerajaan tempatan untuk menanggung semua kos.
“Oleh itu, kerajaan telah mencari jalan untuk menambah pendapatan agar dapat menyediakan segala kemudahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis Daerah Bau hari ini.
Tambah Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pendapatan yang diperolehi daripada sumber baharu telah membantu menanggung semua kos.
Justeru katanya, kerajaan akan terus mencari sumber pendapatan baharu dan tiada perancangan untuk menaikan kadar kutipan cukai.
Dalam pada itu, seramai 32 Ahli Majlis Daerah Bau dengan 13 adalah muka baharu mengangkat sumpah bagi sesi 2023 hingga 2025.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru.
Upacara angkat sumpah dimulakan oleh Kaunselor Constantine Gerald David selaku Pengerusi Majlis Daerah Bau dan diikuti oleh Timbalannya Kaunselor William serta Ahli-Ahli Majlis yang lain. — DayakDaily