Tiada perancangan guna Sarawak Darul Hana, tegas Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kiri) bersama tiga wanita gelang di hadapan lukisan mural ‘The Last Ring Ladies’ di Kota Padawan.

Oleh Chris Bishop

KOTA PADAWAN, 14 Dis: Kerajaan tiada perancangan untuk menukar nama Sarawak kepada Sarawak Darul Hana, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, isu tersebut tidak timbul dan ia sengaja disensasikan oleh pihak-pihak tertentu.

“Tiada, tiada cubaan untuk menukar nama Sarawak kepada Sarawak Darul Hana.

“Tiada perancangan dan tiada isu, mereka sengaja membuat isu. Saya juga terkejut.


“Kalau ada, sudah tentu saya tahu,” ujar Abang Johari ketika ditemui selesai Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Kota Padawan hari ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan lukisan mural The Last Ring Ladies.

Tambah Abang Johari, kerajaan tidak menghalang jika terdapat pihak yang ingin menggunakan nama darul hana seperti darul ehsan dan sebagainya.

Bagi pihak kerajaan katanya, nama darul hana digunakan pada kampung-kampung dan jambatan.

Baru-baru ini, Parti Se’Islam Malaysia (PAS) Sarawak cetus kegelisahan rakyat di negeri ini apabila mempertahankan penggunaan istilah Darul Hana untuk Sarawak.

Pesuruhajaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, PAS akan terus menggunakan perkataan Darul Hana selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

Tindakan PAS itu telah mengundang beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil dengan kenyataan membantah usaha tersebut.

Di antaranya ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Iban Sarawak (PAIS), Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) dan Persatuan Dayak Iban Sarawak cawangan Miri. — DayakDaily