KUCHING, April 10: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan dokumen pengelanan diri.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah menegaskan JPN juga akan sentiasa proaktif dalam menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi menyekat cubaan seperti itu.
“Saya ingin berpesan kepada orang ramai dan penduduk di Sarawak bahawa penyalahgunaan dokumen pengenalan diri adalah satu kesalahan yang amat serius,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan dokumen pengenalan diri milik mereka dipelihara dan dijaga dengan selamat dan memastikan dokumen berkenaan tidak disalahgunakan oleh orang lain.
Jelas beliau, ia kerana di dawah Peraturan 25 (Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) adalah menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda jika didapati bersalah menyalahgunakan dokumen pengenalan diri seperti Kad Pengenalan dan Sijil Kelahiran.
Hari ini, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sarawak telah menjalankan pendakwaan di Mahkamah Majistret Kuching terhadap seorang wanita berasal dari Indonesia yang telah ditahan kerana cubaan untuk membuat permohonan gantian Kad Pengenalan menggunakan Sijil Kelahiran milik orang lain.
Wanita tersebut telah didapati bersalah oleh Mahkamah Majestrit Kuching dan dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara. — DayakDaily