Tiada kes baharu Covid-19, jumlah kes positif kekal 29

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Mac 2: Tiada kes baharu jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal 29 kes.

“Daripada jumlah itu, 17 orang dalam kalangan kes ‘Patient Under Investigation’ (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan,” katanya.


Tambah beliau, kesemua 29 kes melibatkan 15 orang warganegara China, 11 Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali.

Di samping itu, katanya, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj, manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang yang mana kesemua kes ini dalam keadaan stabil.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, seramai 221 orang telah dikenalpasti mempunyai kontak rapat dengan tujuh kes yang masih dirawat di hospital.

“Daripada jumlah kontak ini, dua orang telah disahkan positif yang merupakan kes ke-27 dan ke-29, manakala 74 orang negatif Covid-19.

“Manakala 82 kes masih menunggu keputusan makmal dan 63 lagi masih dalam proses pengambilan sampel,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tegas Dr Noor Hisham, KKM ingin merujuk kepada maklumat yang ditularkan di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikatakan disyaki dijangkiti Covid-19 dan dikaitkan dengan kes ke-26.

Katanya, perkara tersebut sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM.

Mangsa kes ke-26 yang dilaporkan pada Mac 1 sedang dirawat dan dipantau di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil. — DayakDaily