Teruja kononnya dapat bungkusan hadiah dari luar negara, seorang suri rumah rugi RM5,000

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

KAPIT, Nov 18: Gara-gara teruja serta percaya dengan kenalan Facebook yang kononnya menghantar bungkusan hadiah istimewa, seorang suri rumah di sini rugi RM5,000 akibat tertipu oleh sindiket ‘parcel scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku antara Oktober 24 hingga November 16 lepas.

Advertisement

Jelasnya, mangsa berusia 31 tahun telah menerima pesanan menerusi Facebook (FB) daripada seorang kenalannya yang dikenali sebagai Tony Yong.

“Suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa dia hendak mengirim beberapa hadiah kepada mangsa.

“Hadiah-hadiah tersebut adalah seperti barang kemas, beg, kasut, baju, jam tangan dan minyak wangi,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek memberitahu mangsa, tujuan dia mengirim bungkusan barangan itu adalah disebabkan mangsa hidup dalam kesusahan.

Katanya, pada November 12 lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu barang kiriman telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari luar negara.

“Suspek kemudian meminta mangsa membayar wang sebanyak RM5,000 sebagai bayaran cukai kastam dan boleh dibayar setengah supaya bungkusan barang tersebut boleh dihantar ke Sibu.

“Seterusnya, pada November 14, mangsa telah memasukkan wang RM2,500 ke akaun Bank Islam atas nama Syarikat Noorizan Enterprise melalui kaunter Bank Rakyat Kapit.

“Dua hari selepas itu, seorang wanita yang mengatakan dari Syarikat Noorizan Enterprise telah menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa barang kiriman milik mangsa telah sampai di Sibu dan cukai kastam tertungak perlu dijelaskan sebanyak RM2,500 untuk melepaskan barangan tersebut kepada pemilik,” katanya.

Mustafa menambah, mendengar penjelasan dari perempuan tersebut, pada hari yang sama mangsa sekali lagi telah memindahkan wang berjumlah RM2,500 di Bank Rakyat Kapit ke akaun yang sama.

Ujarnya, setelah wang dimasukkan mangsa ke akaun tersebut, mangsa kemudian dimaklumkan barangan tersebut akan sampai di Kapit pada hari ini pukul 12.00 tengahari hari.

“Mangsa akhirnya menyedari telah ditipu selepas dia tidak menerima bungkusan barangan seperti yang dijanjikan.

“Wanita itu juga gagal menghubungi nombor suspek apabila dia cuba bertanya mengenai bungkusan hadiah berkenaan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement