Terpedaya dengan kekasih FB, kerani rugi RM8,850

PDRM logo.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BELAGA, Nov 17: Seorang kerani terpaksa berputih mata selepas kerugian RM8,850 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘parcel scam’.

Kejadian menimpa wanita berusia 28 tahun itu dilaporkan berlaku antara 14 hingga 16 Nov lepas.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata hasil maklumat diterima, mangsa memberitahu telah menerima panggilan telefon daripada nombor 011-11620672 kononnya dari pihak Global Express.

Jelas beliau, suspek kemudian menyatakan terdapat bungkusan barangan milik mangsa yang dihantar oleh kawannya Alam Zeb dari Dublin, Republik Ireland, yang dikenali melalui laman sosial Facebook (FB).

“Mangsa seterusnya diminta oleh suspek untuk membuat pembayaran cukai barang tersebut yang berjumlah RM1,850 sekali gus memudahkan pihak mereka menghantar barangan tersebut kepada mangsa tanpa sebarang masalah.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa kemudian membuat pindahan wang secara dalam talian melalui Maybank2u kepada akaun Ambank atas penama Siti Zahara Wan Abdullah sebanyak RM1,850 sebagaimana yang diminta oleh pihak Global Express,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, setelah pembayaran itu dilakukan, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon dari pihak Global Express

Katanya, suspek kemudian memaklumkan setelah pemeriksaan dilakukan ke atas barangan yang dikirim Alam Zeb, pihak mereka mendapati di dalamnya mengandungi wang sebanyak US$70,000.

“Suspek seterusnya menyatakan bahawa mangsa terlibat dengan penyeludupan mata wang asing.

“Bagi mengelakkan mangsa dikenakan tindakan undang-undang mangsa sekali lagi telah diminta membuat pembayaran sebanyak RM7,000 ke dalam akaun yang sama,” katanya.

Mustafa menambah, selepas mangsa membuat bayaran, dia sekali lagi dihubungi pihak Global Express lalu memintanya membuat bayaran sebanyak RM23,000.

Katanya, mangsa yang mula curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu tidak membuat pembayaran lagi.

“Wanita itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah sebanyak RM8,850,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement