Terpedaya dengan dua kekasih FB, seorang guru wanita lesap wang mencecah RM400,000

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Ogos 8: Gara-gara terpedaya dengan kata-kata romantik kekasih alam maya yang ingin menghantar bungkusan hadiah istimewa, seorang wanita lesap wang mencecah RM400,000 akibat ditipu sindiket ‘love scam’.

Mangsa yang berusia 47 tahun itu dikatakan telah memindahkan wang tersebut pada Disember tahun lepas, namun dia hanya membuat laporan polis berhubung kes berkenaan semalam.


Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, mangsa yang merupakan seorang guru bukan sahaja ditipu seorang kekasih alam maya, tetapi dua orang kekasih alam mayanya yang dikenali daripada Facebook.

Katanya, lelaki pertama yang dikenali mangsa kononnya dikenali sebagai ‘Roy Lim Cheng’ dan yang kedua dikenali sebagai ‘Henry’.

“Akibat tertarik dengan kata-kata suspek, mangsa telah memasukkan duit dalam tempoh Disember 24 hingga 26 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, meskipun wang sudah dimasukkan, mangsa masih belum menerima bungkusan hadiah seperti yang dijanjikan oleh kedua-dua kekasih alam mayanya itu.

Katanya, mangsa yang berasa tertipu selepas begitu lama menanti kemudian membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. — DayakDaily