Terkejut jumpa barang hilang di kedai menjual besi buruk

File photo for illustration purposes

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Ogos: Seorang mangsa pecah rumah di Beluru Bakong terkejut apabila menemui barangan rumahya yang hilang dicuri berada di dalam sebuah kedai menjual besi buruk.

Menurut sumber, dalam kejadian pada 5 Ogos yang lepas, mangsa, seorang pesara kerajaan berusia dalam lingkungan 60-an bersama isteri berada di dalam pondok kebun di Simpang Mamut, Jalan Miri-Bintulu semasa rumah mereka di Beluru, dipecah masuk oleh pencuri.


Kerugian dianggarkan bernilai sebanyak RM3,500.

Sumber menambah, suspek telah menjual barangan curi tersebut kepada sebuah kedai besi buruk di Beluru selepas memecah masuk rumah mangsa.

Sebelum penemuan kejadian pecah masuk tersebut, mangsa telah menerima panggilan dari adik iparnya sekitar jam 4.33 petang pada petang itu apabila terlihat asap tebal dari bawah rumah mangsa.

Bimbang kejadian buruk terjadi, mangsa bersama isteri bergegas balik ke rumah mereka di Beluru dari pondok kebunnya di Simpang Mamut.

Setiba di rumah, mangsa melihat kunci utama pada pintu depan telah dipecahkan.

Hasil pemeriksaan lanjut, mangsa mendapati beberapa barangan di dalam rumahnya telah hilang, antaranya periuk tembaga, periuk aluminium, kuali masak, komponen motorsikal, pili paip (3 unit), bateri motorsikal (4 unit), dan alatan pendawaian dalam rumah.

Mensyaki pencuri berkenaan mungkin menjual hasil curi ke kedai besi buruk terdekat, mangsa ditemani isteri dan iparnya bergegas ke sebuah kedai besi buruk.

Sebaik masuk ke dalam kedai berkenaan, mangsa mengenal pasti barangan rumahnya yang telah curi suspek berada di dalam kedai itu.

Satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut. — DayakDaily