Tercampak dari motosikal, remaja maut digilis kereta

Keadaan kemalangan di KM18, Jalan Kota Samarahan-Asajaya.

KOTA SAMARAHAN, Mei 24: Malang menimpa seorang remaja perempuan apabila dia maut selepas tercampak dari motosikal yang dinaiki bersama rakannya di KM18, Jalan Kota Samarahan-Asajaya di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Fitratul Izzah Hamdan, 17, maut serta-merta di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal bersama rakannya, Azrin Syah Iskandar Mohamad, 17, dikatakan sedang menuju ke Kota Samarahan dari Asajaya.


Bagaimanapun katanya, motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang kemudian tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas hingga mengakibatkan mangsa tercampak di laluan bertentangan dan digilis kereta Proton Saga.

“Wanita berusia 32 tahun yang memandu kereta itu dikatakan tidak sempat memberhentikan keretanya kerana kejadian tersebut berlaku dengan pantas.

“Pemandu itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, rakan mangsa yang cedera parah kini masih menerima rawatan di Klinik Kesihatan Asajaya.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily