Teratai adakan kunjungan balas ke Sarawak

Juma’ani (duduk tengah) menerima kunjungan hormat Teratai di Kuching. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 13 Ogos: Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai) yang diketuai Presidennya Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed pada Jumaat telah melakukan kunjungan hormat ke atas Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati) di Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (Scope) di sini.

Hadir sama isteri Premier Sarawak merangkap Presiden Sabati Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Menurut Burhah, lawatan pihaknya bersama Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Negeri Pahang itu merupakan kunjungan balas kepada rombongan Sabati ke Pahang pada September 2019 yang lepas.


“Lawatan kami selama empat hari (11-14 Ogos) ini adalah selepas Sabati mengadakan lawatan ke negeri Pahang pada September 2019 bagi membuat penyelidikan di Pusat Tenun Pahang untuk menaiktaraf Centexs.

“Diharapkan dengan kunjungan balas kami ini, ahli rombongan Teratai dapat mempelajari mengenai keunikan yang terdapat di Sarawak,” katanya.

Burhah turut kagum dengan sifat toleransi yang wujud di antara masyarakat di sini yang penuh muhibah sehingga membentuk keharmonian di Sarawak.

“Saya mengharapkan dengan kehadiran kami ini, hubungan di antara Teratai, Puspanita Negeri Pahang dan Sabati kekal terjalin.

“Saya dan rombongan ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian menerima kami selama empat hari ini di atas layanan yang sangat baik,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Sabati Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud yakin kunjungan tersebut mengukuhkan lagi ikatan muhibah di antara Sabati dan Teratai.

Katanya, Sabati juga akan mengadakan satu perlawanan persahabatan bowling bersama Teratai pada Sabtu ini dalam usaha untuk lebih mengenali antara satu sama lain. — DayakDaily