Tenun songket Sarawak miliki nilai komersial tinggi — Nanta

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 12 Nov: Hasil tenun songket Sarawak antara penyumbang kepada sejumlah 11.7 peratus eksport Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) dengan nilai RM124.3 bilion pada tahun 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, tenun songket Sarawak yang dieksport memiliki nilai komersial yang tinggi.

“Nilai estetika songket Sarawak ini menjadikannya antara produk tempatan yang mendapat tempat di pasaran luar negara.


“Kini songket Sarawak juga telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) di peringkat global sehingga mampu mencipta sosioekonomi tempatan dan menyumbang kepada ekonomi pelancongan,” katanya.

Nanta berkata demikian dalam ucapan aluan di Perasmian di Karnival Barangan Malaysia 2022 di Tebingan Kuching malam ini yang dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam ucapan, Nanta menyeru rakyat Malaysia bersama-sama membantu membangunkan ekonomi negara dengan menyokong barangan Malaysia.

Katanya, berbelanja di dalam negara dan barangan tempatan juga dapat membantu ekonomi kekal berlegar di dalam negara tanpa banyak pengaliran wang keluar.

“Sudah tentu, sebagai pengguna di negara ini, kita pastikan setiap perbelanjaan juga adalah lebih nilai untuk wang, berpatutan dan berkualiti,” ujar beliau.

Karnival Barangan Malaysia merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan diterajui oleh KPDNHEP.

Selain meningkatkan semangat patriotisme di kalangan Keluarga Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia, objektif kempen KBBM ini juga adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Ini dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk serta perkhidmatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga hingga ke luar negara,” kata Nanta. — DayakDaily