Tentera usir 21 Pati keluar dalam tempoh dua hari

Kelihatan 17 Pati yang ditangkap dan diusir di Lubok Antu.
Advertisement

KUCHING, 31 Okt: Seramai 21 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) diusir keluar oleh anggota Tentera Darat setelah ditangkap cuba memasuki negeri ini dalam dua operasi berasingan.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pengusiran pertama berlaku semalam sekitar jam 1.50 petang di jalan tikus di Kandaie.

Katanya, anggota yang sedang melaksanakan rondaan telah berjaya mengesan empat individu berjalan kaki dari arah Indonesia.

Advertisement

“Setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua individu lelaki yang berusia di antara 17 hingga 55 tahun merupakan Pati kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan turut menyatakan tujuan masuk ke Malaysia untuk mencari hasil hutan.

“Mereka kemudian diusir keluar oleh anggota keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala pengusiran kedua pada hari ini sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya sepasukan anggota yang menjalankan rondaan telah mengesan 17 orang dipercayai Pati berjalan kaki memasuki Malaysia kira-kira 100 meter dari sempadan Indonesia di kawasan Lubok Antu.

Jelasnya, setelah ditahan dan disoal siasat, 12 individu lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun, empat individu wanita berusia antara 21 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun disahkan sebagai Pati.

“Mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan,” katanya.

Kesemua Pati diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya dan pemantauan serta rondaan berterusan giat dijalankan oleh pasukan yang bertugas.

“Melalui inisiatif Op Benteng, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak–Kalimantan Barat terus kekal siaga dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara,” katanya. — DayakDaily

Advertisement