Tentera 11RAMD patahkan cubaan seludup keluar Mitsubishi Pajero

Anggota tentera bersama Mitsubishi Pajero yang dirampas.

LUNDU, April 16: Pasukan tentera dari Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di kawasan Ladang Sawit Syarikat Pelita di sini hari ini.

Jurucakap 11RAMD berkata, kenderaan tersebut dikesan sepasukan anggota tentera yang sedang melakukan operasi rutin di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di situ.

Katanya, hasil operasi, pihak tentera telah mengesan empat buah motosikal dan sebuah kenderaan sedang melalui kawasan lorong tikus dari arah Malaysia menuju ke Indonesia.


“Pihak tentera telah bertindak menahan kesemua kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun, keempat-empat motosikal serta tiga penumpang kenderaan pacuan empat roda itu bertindak berpatah balik ke arah Malaysia dan cuba berpecah mengikut lorong yang berlainan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, pihak tentera bertindak mengejar motosikal tersebut sebelum ketiga-tiganya dapat berpecah.

Katanya, sebuah Mitsubishi Pajero yang telah ditinggalkan berjaya dirampas.

“Kesemua suspek melarikan diri ke dalam belukar kawasan ladang kelapa sawit.

“Pihak tentera percaya bahawa suspek-suspek yang melarikan diri itu sedang cuba menyeludup kenderaan dari wilayah Malaysia ke Indonesia melalui lorong-lorong tikus yang terdapat di sepanjang garis sempadan darat,” ujarnya.

Tambahnya, kenderaan yang dirampas kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lundu pada pukul jam 12 tengah hari pada hari sama untuk tindakan selanjutnya.

Anggaran rampasan barangan berjumlah RM35,000. — DayakDaily