Tengkorak Bung Jagoi roh hidup jaga perkampungan dan penduduk

Hanya tinggal lapan tengkorak yang masih disimpan.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

BAU, 23 Mei: Roh tengkorak memastikan penduduk di perkampungan Bung Jagoi selamat dari sebarang ancaman di awal penempatannya pada 1842.

Menurut Jimat Nopis, 72, yang merupakan penduduk asal Bung Jagoi, tengkorak tersebut sebenarnya adalah kepala musuh yang diperolehi oleh pahlawan-pahlawan Jagoi sewaktu zaman kayau.

Advertisement

Katanya, pada masa dahulu terdapat banyak tengkorak namun kini hanya tinggal lapan.

Mencerita selanjutnya, Jimat berkata, roh atau semengat tersebut mengiringi pahlawan-pahlawan Jagoi bertempur menentang musuh.

“Roh tengkorak ini akan bersama pahlawan samada ke gelanggang pertempuran atau mempertahankan kampung.

“Ia mengiringi badan mereka, dan memastikan mereka sentiasa berani serta kebal,” katanya ketika ditemui di Bung Jagoi hari ini.

Baruk Bung Jagoi

Tambah Jimat, roh tengkorak juga memastikan perkampungan (rumah panjang) Bung Jagoi sentiasa selamat.

Pernah satu ketika pada tahun 70-an katanya, rumah panjang tersebut hampir musnah terbakar.

Penduduk kampung berusaha memadamkan api dari sumber air yang ada.

“Tetapi dalam keadaan cuaca yang panas ketika itu, tiba-tiba sahaja hujan turun dengan sangat lebat sekaligus memadamkan api.

“Penduduk percaya ia adalah semangat tengkorak tersebut yang telah membantu memanggil hujan bagi menyelamatkan rumah panjang,” kata Jimat.

Bagi menjaga roh tengkorak, penduduk Bung Jagoi mengadakan Gawea Tikurouk (Gawai Tengkorak) pada setiap tahun.

Ia adalah gawai khas melibatkan upacara memandi dan memberi makan kepada roh tengkorak.

Walau bagaimanapun Gawea Tikurouk kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2005.

Ia disebabkan tiada lagi individu yang mahir melaksanakan upacara itu.

Jimat ketika ditemui di ‘baruk’, tempat menyimpan tengkorak.

Menurut catatan Sir Hugh Low pada 1885, terdapat seramai 300 penduduk mendiami Bung Jagoi.

Disebabkan kekangan tanah untuk bercucuk tanam, penduduk mula berpindah ke kawasan tanah rendah.

Tahun terakhir perpindahan penghuni ke tanah rendah adalah pada tabun 2010.

Kini Bung Jagoi dijadikan tapak warisan sejarah dan budaya Bijagoi. — DayakDaily

Advertisement