Tendang bahagian kemaluan lelaki, seorang wanita berjaya lepas diri

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SIBU, April 3: Padah cuba mencabul seorang wanita, seorang lelaki diberkas polis di premis hiburan di sini malam tadi.

Suspek berusia 20 tahun itu diberkas polis kira-kira pukul 12.29 tengah malam.


Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai telah menolak dan menarik tangan mangsa di sebuah tandas di pusat hiburan itu.

Katanya, suspek kemudian dipercayai cuba membuka seluar mangsa dan mencekik leher wanita berusia 31 tahun.

“Mangsa kemudian cuba melepaskan diri dengan menendang bahagian kemaluan suspek.

“Wanita berkenaan seterusnya menjerit meminta pertolongan sehingga jeritannya didengari oleh majikan mangsa yang segera membantunya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis menambah, majikan mangsa kemudian menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan suspek.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” ujarnya. — DayakDaily