Tekun biaya 43,206 usahawan dengan peruntukan RM451.36 juta setakat ini

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 2 Nov: Sejumlah 43,206 usahawan dalam pelbagai sektor perniagaan telah mendapat manfaat melalui pembiayaan di Tekun dengan nilai RM451.36 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembiayaan tersebut dikeluarkan dalam tempoh pandemik Covid-19 mulai bulan Mac 2020 sehingga 18 Oktober 2020.

“Tekun Nasional menerima sejumlah RM300 juta daripada kerajaan melalui Pakej Prihatin-PKS dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) untuk disalurkan sebagai pembiayaan mudah kepada usahawan yang terjejas susulan pandemik.


“Pembiayaan disalurkan melalui program Covid Business Recovery–Micro (CBRM) dan Tekun Business Recovery Scheme (TBRS),” katanya sebagai menjawab pertanyaan lisan MP Jerai Sabri Azit pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Wan Junaidi, satu lagi agensi di bawah kementerian iaitu SME Corp turut menyediakan bantuan pembiayaan dan pembangunan untuk usahawan bumiputera seperti Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) di bawah inisiatif Penjana.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah berbentuk latihan dengan geran memulakan perniagaan sehingga maksimum RM15,000 dan pemantauan perniagaan untuk tempoh 12 bulan. — DayakDaily