Teknik ‘receo’ berjaya elak api merebak dalam kebakaran bilik sewa

Kelihatan asap tebal dari sebuah bilik sewa yang terbakar.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Dis 13: Sebuah bilik sewa di tingkat empat Bangunan Allcare Farmasi di Jalan Pasar Kapit di sini terjejas akibat terbakar, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 2.14 petang itu, tiada penghuni rumah sewa berkenaan cedera.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Erwandy Tugor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.15 petang.

Jelasnya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar bilik sewa yang terletak di tingkat empat bangunan berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan teknik ‘receo’ dalam operasi berkenaan bagi mengelak api merebak ke bahagian bangunan lain,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Erwandy memberitahu, teknik ‘receo’ ternyata berhasil apabila api berjaya dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba mendapati tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu,” katanya. — DayakDaily