TEGAS siarkan TEVT For Youth Podcast untuk sebarkan maklumat kemahiran

Datuk Len Talif Salleh
Advertisement

KUCHING, 2 NOV: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak(TEGAS) melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada komuniti dengan menyebarkan maklumat tentang pendidikan kemahiran melalui “TEVT For Youth Podcast”.

Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, maklumat Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional(TEVT) perlu disampaikan dari semasa ke semasa.

“Ini adalah kerana bidang TEVT akan menjadi semakin relevan dengan wujudnya peluang-peluang kerjaya dalam Revolusi Industri 4.0,” katanya yang juga Pengerusi TEGAS dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Menurut Len, Podcast ini meliputi 13 episod dengan panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan kemahiran.

Katanya pakar-pakar ini adalah dari Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), Kementerian Pendidikan Malaysia, University College of Technology Sarawak.

Ini termasuk dari Politeknik Kuching, Politeknik Mukah, Politeknik Betong, Institut Kemahiran Mara Bintulu, German Malaysia Institute, Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS), Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional, Yayasan Sarawak dan juga alumni belia TEVT.

“Tajuk-tajuk yang dibincangkan oleh setiap panel meliputi peluang kerjaya dalam era Revolusi Industri 4.0, halatuju TEVT, strategi memasyarakatkan TEVT.

“Ia juga meliputi penjelasan kursus-kursus panas di institusi TEVT, peluang-peluang mendapatkan bantuan kewangan pendidikan dan perkongsian kerjaya alumni belia TEVT,” ujar Len.

Podcast ini diadakan pada jam 8.00 malam pada setiap hari Selasa dan Jumaat, yang disiarkan melalui Facebook TEGAS dan Youtube, dari 5 November sehingga 17 Disember 2021.

Sejak pandemik COVID-19 melanda, TEGAS telah menangguhkan Sarawak Career Fair (SCaT Fair).

“SCaT Fair diadakan pada setiap tahun sejak 2012 setiap kali selepas pengumuman peperiksaan SPM dan STPM.

“Ia bertujuan untuk menyampaikan maklumat pendidikan akademik dan kemahiran, maklumat bantuan pendidikan serta maklumat tentang peluang pekerjaan,” katanya.-DayakDaily

Advertisement