Tawaran lesen kopi O adalah satu ‘scam’, kata JPJ Sarawak

Imej palsu mengenai tawaran lesen kopi O atau lesen terbang.

KUCHING, 14 Ogos: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menafikan ada institut lesen memandu yang  menawarkan lesen kopi O atau lesen terbang kepada orang ramai di negeri ini.

Institut memandu terbabit juga tidak ada melantik mana-mana agen bagi urusan lesen memandu itu seperti satu imej yang tular di media sosial.

“Ini adalah satu ‘scam’ atau penipuan dan penyalahgunaan imej,” menurut jabatan itu di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak.


Berikutan itu, pihaknya menegaskan segala urusan perlesenan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JPJ.

Imej yang tular terbabit mendakwa satu institut memandu di bandaraya ini menawarkan pelbagai jenis lesen memandu dengan harga RM400 sehingga RM1,400 tanpa perlu pemohonnya belajar di institut terbabit.-DayakDaily