Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mei 29: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching akan mengadakan program Hari Bersama Pelanggan bersempena Kempen OP Selamat Perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Program tersebut akan berlangsung hari ini (Mei 29) bertempat di Kubah Ria dan Kaunter Trafik IPD Kuching bermula dari jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang.
Sempena dengan program tersebut, kaunter semakan akan dibuka dan tawaran diskaun diberikan sehingga 50 peratus kepada pesalah trafik.
Saman yang berkecuali untuk tawaran diskaun 50 peratus tersebut adalah seperti saman berstatus NC, kes bicara di mahkamah, waran tangkap tahun semasa dan saman kemalangan.
Turut berkecuali daripada tawaran diskaun ini ialah kesalahan trafik dalam tempoh OP Selamat 2019 dan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan berat yang dikompaun maksima.
Diskaun bagi bayaran saman sebanyak 50 peratus adalah mengikut terma dan syaratnya meliputi saman trafik dari seluruh Malaysia.
Orang ramai yang ingin membuat pembayaran juga digalakkan membuat semakan awal terlebih dahulu di mana-mana Balai Polis Trafik berhampiran tentang butiran saman yang boleh mendapat diskaun seperti yang termaktub. — DayakDaily