Taska digesa membincang peningkatan yuran dengan ibu bapa

Fatimah (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita ketika melawat ke Taska Cahaya Horizons di Jalan Stampin Tengah, Green Heights.
Advertisement

KUCHING, Jun 9: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak tidak akan menghalang sebanyak 236 taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di Sarawak dari meningkatkan yuran mereka setelah dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah bagaimanapun mahu peningkatan yuran terbabit dibincangkan dahulu bersama antara ibu bapa dan pengusaha taska.

“Ini (peningkatan yuran) perlu dibincang oleh ibu bapa bersama pengusaha taska itu sendiri, sebaik-baiknya ialah persetujuan bersama. Kita tidak dapat menetapkan kos dan yuran (taska) yang seragam kerana perkhidmatan mereka berbeza-beza,” katanya selepas melawat Taska Cahaya Horizons di Jalan Stampin Tengah, Green Heights, di sini, hari ini.

Advertisement

Fatimah berkata kos lebih tinggi terpaksa ditanggung taska bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi beroperasi semula selepas diarahkan ditutup akibat penularan Covid-19 sebelum ini.

Katanya taska boleh diarahkan menghentikan operasi sekiranya gagal mematuhi SOP. Pengasuh dan pengusaha taska perlu melakukan lebih banyak kerja bagi menjaga kebersihan dan keselamatan peralatan dan premis setiap hari.

“Dengan itu, kos operasi pun bertambah untuk mereka iaitu membeli sanitizer tangan, topeng muka bagi kakitangan dan bahan penyahkuman dan sebagainya,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri juga sudah memberi kelonggaran bagi taska tersebut mengunakan Geran Tahunan Khas mereka bagi menampung kos mematuhi SOP itu.

Beliau berkata setakat ini hanya ada persatuan pengasuh kanak-kanak berdaftar di Semenanjung yang sudah didengar akan menaikkan yuran bagi perkhidmatan mereka dan belum ada lagi persatuan sama di Sarawak sudah berbuat demikian.

Fatimah berkata sekiranya ada peningkatan yuran berkenaan, beliau mengalakkan ibu bapa di negeri ini memohon tawaran subsidi disediakan kerajaan pusat bagi menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar sebanyak RM180 sebulan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Taman didikan kanak-kanak (tadika) masih belum dibenarkan beroperasi semula di negeri ini dan pihaknya masih menunggu Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan SOP bagi pembukaan semula tadika. — DayakDaily

Advertisement