Tasik Biru Resort City bakal menjadi tarikan baharu di Bandar Bau — Henry

Henry bersalaman dengan penduduk Bau di Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2024.
Advertisement

KUCHING, 28 Okt: Tasik Biru Resort City yang kini sedang dalam pembinaan bakal menjadi satu tarikan pelancong baharu dan memeriahkan lagi Bandar Bau.

Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep berkata, pembangunan di kawasan tersebut menjadi realiti setelah tempoh pajakan lombong emas kepada syarikat perlombongan tamat pada 2023.

“Kalau sudah tamat tempoh pajakan, saya mohon kepada Premier Sarawak kita tidak boleh teruskan aktiviti perlombongan.

Advertisement

“Kalau kita teruskan, seluruh Bandar Bau akan tenggelam.

“Kerajaan Negeri (Premier Sarawak) pun setuju aktiviti perlombongan emas dihentikan,” katanya di Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2024 di Bau semalam.

Jelas Henry yang juga Adun Tasik Biru, ada sesetengah pihak mengatakan bahawa dahulu Tasik Biru milik orang Bau.

Dan sekarang katanya, mereka ini menuduh kawasan tersebut telah dirampas.

“Tasik Biru yang sebenarnya tidak pernah menjadi milik orang Bau kerana telah diberikan pajakan lombong emas kepada syarikat bagi tempoh berpuluh-puluh tahun.

“Sekarang kita bangunkan Tasik Biru Resort City dan apabila siap nanti Pesta Tasik Biru pada tahun akan datang akan menjadi lebih meriah lagi,” kata Henry. — DayakDaily

Advertisement