Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang Piala Premier Sarawak acara tahunan

Hasbi (tiga kiri) di Perasmian Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang 2023. Foto: UKAS

KUCHING, 19 Nov: Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang Piala Premier Sarawak akan dijadikan acara tahunan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kejohanan ini mampu menjadi tarikan baharu di Limbang serta tumpuan penggemar sukan di rantau ini,” kata Abang Johari menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dalam Perasmian Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang 2023 pada semalam.


Kejohanan kali berlangsung pada 18 hingga 19 November 2023 dan telah disertai sejumlah 47 pasukan.

Ia melibatkan tiga kategori dengan kategori lelaki terbuka disertai 12 pasukan dari Brunei Darussalam, 11 pasukan dari bahagian Limbang, lapan pasukan dari Sabah dan dua pasukan masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Lima pasukan dari bahagian Limbang serta satu pasukan masing-masing dari Sabah dan Labuan pula bersaing dalam kategori wanita manakala kategori remaja melihat persaingan daripada lima pasukan dari bahagian Limbang.

Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan bahawa Bahagian Limbang telah menikmati pelbagai pembangunan dari segi infrastruktur mahupun sektor pelancongan dan ekonomi.

Katanya, banyak inisiatif telah dilaksanakan demi manfaat warga setempat termasuk pembangunan infrastruktur seperti Jambatan Persahabatan yang menghubungkan bahagian tersebut dengan negara Brunei Darussalam.

ā€œSebagai contoh, Jambatan Persahabatan menghubungkan Pandaruan, Limbang ke Temburong, Brunei yang telah digunakan sejak tahun 2013.

ā€œLokasi Limbang yang terletak di antara negara Brunei juga telah menyumbang kepada sektor pembangunan secara tidak langsung dari segi ekonomi.

ā€œKeadaan ini disokong dengan peningkatan kadar pendapatan para peniaga dan usahawan tempatan daripada pelbagai bidang sama ada perhotelan, inap desa, makanan, kraftangan, pengangkutan dan sebagainya,ā€ katanya. ā€” DayakDaily