Tapak baharu Rumah Panjang Harrison Mehai di Stapang dirasmikan

Gira (duduk tiga kanan) di perasmian tapak baharu bagi rumah panjang Harrison Mehai di Stapang. Foto kredit: UKAS

KUCHING, 5 Feb: Penduduk Rumah Panjang Harrison Mehai di Stapang kini boleh mengukirkan senyuman apabila tapak baharu bagi rumah panjang berkenaan telah dirasmikan pada Sabtu lepas.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perasmian telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira.

“Dengan ini, impian penghuni rumah panjang tersebut untuk memiliki tapak baharu akhirnya direalisasikan,” katanya dalam ucapan di majlis perasmian.


Gira merakamkam penghargaan kepada kerajaan Sarawak kerana memperkenalkan skim pinjaman rumah panjang khas untuk bumiputera yang tinggal di rumah-rumah panjang.

Katanya, skim tersebut bagi tujuan renovasi bagi unit-unit individu mahupun untuk pembinaan rumah panjang baru

“Saya sentiasa menyokong usaha tersebut dan memberi galakan kepada rakyat agar inisiatif yang telah disediakan kerajaan Sarawak ini dimanfaat sebaik mungkin,” kata Gira.

Dalam pada itu, Gira telah meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM25,000 kepada JKKK Rumah Harrison Mehai. — DayakDaily