Tangkapan serta merta jika menghilangkan diri selepas didapati positif Covid-19, kata Tiong

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 27 April: MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing mengesahkan bahawa lebih daripada 100 individu positif Covid-19 yang “hilang” di Bintulu telah ditemui.

Katanya, ia termasuk seorang individu yang berjalan di jalan raya dengan memakai gelang kuarantin yang telah ditangkap oleh polis.

Justeru, Tiong memberi amaran bahawa sesiapa yang cuba mengulangi perkara yang sama akan dikenakan tindakan tegas.


“Jika berulang lagi, kita tidak akan bertolak ansur.

“Mereka tidak akan lagi diberi peluang untuk menyerah diri tetapi akan ditangkap serta merta oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Tiong, individu yang didiagnosis sengaja mengelak daripada pengesanan pihak berkuasa pada masa seterusnya akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 342 Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

Manakala individu yang memberikan maklumat palsu juga akan didakwa di bawah Seksyen 342(22)(d) dan 342(24)(a) Akta yang sama.

Tambah Tiong, individu yang telah didiagnosis harus mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Jika tidak, katanya, ia hanya akan membawa akibat penyebaran penyakit yang meluas dan menjejaskan kesihatan dan keselamatan seluruh masyarakat.

“Saya berharap ini adalah kali pertama dan terakhir kejadian seperti ini berlaku dan kami tidak akan bertolak ansur atau toleransi dengan mereka yang terlibat.

“Mereka juga perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi hospital untuk bekerjasama dengan pengasingan dan rawatan,”ujar beliau.

Menurut Tiong lagi, difahamkan bahawa apabila kakitangan yang berkaitan menghubungi orang-orang yang didiagnosis ini, mereka sebenarnya mematikan telefon bimbit mereka untuk mengelakkan dihubungi.

“Tambahan lagi kita tidak dapat mengesan mereka selepas pergi ke alamat yang disediakan dan ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujar Tiong. — DayakDaily