Tangan tersepit dalam mesin pengadun, kanak-kanak lelaki tahan sakit lebih 30 minit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.

SIBURAN, Dis 28: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas tangannya tersepit di dalam mesin pengadun kek dalam satu kejadian di Pasar Tapah, Batu 22 Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Jason Bong Peien, 5, mengalami kecederaan dan pendarahan pada tangannya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.12 tengah hari.


Katanya, sejurus menerima laporan insiden itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan bergegas ke lokasi kejadian.

Mesin pengadun tempat di mana tangan kanak-kanak tersepit.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati tangan mangsa masih tersepit di dalam sebuah mesin pengadun kek.

“Sejurus itu, pasukan bomba kemudian bertindak memotong dan membuka besi pengadun tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.40 tengah hari,” katanya lagi. — DayakDaily