KUCHING, Mac 10: Kerajaan negeri akan meluluskan pemberian sebidang tanah di Bekenu, Miri kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak sebagai tapak membina pusat latihan keduanya di kawasan utara negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebelum ini kerajaan negeri telah meluluskan pemberian sebidang tanah di Sematan, Lundu kepada RELA Sarawak sebagai tapak membina pusat latihan yang pertamanya.
“Memang benar kita telah meluluskan sebidang tanah di Lundu untuk menempatkan pusat latihan RELA dan selepas ini akan memberi sebidang tanah lagi di Bekenu bagi tujuan yang sama,” katanya ketika menghadiri Hari Ulangtahun RELA Ke-46 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Di majlis tersebut, Abang Johari juga diberikan dan memakai pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Dato Sri Richard Riot Jaem, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Masir Kujat, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah RELA Negeri Sarawak Rini Tupong.
Abang Johari sehubungan itu meminta anggota RELA di negeri ini berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kerajaan pusat yang akan menyediakan dana peruntukan bagi membina kedua-dua pusat latihan terbabit.
“Negeri Sarawak menyediakan tapak tanahnya, kerajaan pusat pula menyediakan dana (pembinaannya); ini adalah satu persetujuan yang sangat penting antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang kedua-duanya dibawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berharap dengan ada dua pusat latihan RELA, anggota RELA di negeri ini akan dapat menyalur bakti mereka sebagai barisan kedua mempertahankan kedaulatan negeri ini disamping membantu menjaga keamanan bagi membolehkan negara ini melangkah menjadi negara maju menjelang 2020 dan Sarawak pula menjelang 2030.
Sementara itu, Rini berkata ketika ini ada seramai 357,000 anggota RELA di negeri ini dengan pusat latihannya yang bakal dibina di Sematan, Lundu dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM165 juta. Pasukan itu dijangka akan memiliki pusat latihan pertamanya sendiri pada 2020. — DayakDaily