Tanah runtuh menjejas laluan ke Rumah Panjang Anah Rais

Keadaan tanah runtuh yang telah dialihkan sebelum dapat dilalui oleh kenderaan.

SIBURAN, Okt 8: Keadaan struktur tanah yang lembap susulan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh di jalan menuju ke Rumah Panjang Anah Rais di sini lewat petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.55 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati tanah runtuh menutupi jalan menuju ke Rumah Panjang Anah Rais.


“Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu kemudian bertindak mengalihkan tanah runtuh tersebut,” katanya di sini malam ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan di kawasan runtuhan tanah bagi memastikan keadaan adalah selamat.

“Operasi tamat sepenuhnya apabila laluan berkenaan dapat dilalui semula oleh kenderaan,” katanya. — DayakDaily