BELAGA, Julai 14: Ribuan penduduk yang menetap di Lusong Laku di sini memohon pihak berkuasa untuk membaiki laluan yang runtuh yang menjadi jalan penghubung kepada mereka.
Ini susulan sebuah laluan di situ telah runtuh baru-baru ini hingga menyebabkan mereka sukar untuk turun ke pekan berhampiran bagi mendapatkan keperluan harian mereka.
Seorang penduduk memberitahu, keadaan itu telah menyebabkan mereka terputus hubungan dengan dunia luar kerana tiada kenderaan dapat melalui jalan tersebut.
Katanya, setakat ini jalan yang runtuh itu masih belum dibaikpulih.
“Situasi ini menjadi sukar terutamanya ketika berlaku kecemasan menghantar ahli keluarga yang sakit ke klinik kesihatan atau hospital terdekat.
“Jadi,sekiranya keadaan itu berterusan, ia pastinya menyukarkan penduduk setempat untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Dia menambah, difahamkan, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa mengadakan lawatan ke Sungai Asap, baru-baru ini telah meluluslan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf Jalan Lusong Laku yang mengalami kerosakan teruk itu.
Sehubungan itu katanya, jadi dia amat berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan segera
“Kita harap pihak berkaitan melihat sendiri keadaan di sini. Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan kerana sukarkan pergerakan penduduk di sini.
“Apabila jalan sudah dibaiki kelak, penduduk lebih senang keluar masuk kampung membawa hasil hutan. Ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan kami,” katanya. — DayakDaily